Nenek nyaris dipatuk ular tedung - Terbaik.my

Nenek nyaris dipatuk ular tedung

Tuesday, 10 April 2012 | comments

Anggota JPAM diketuai Hashim Daud(tengah) menunjukkan ular tedung selar yang hampir mematuk seorang warga emas di Kampung Batu Hampar, kelmarin
BATU HAMPAR, KUALA TERENGGANU – Keasyikan seorang nenek lapan cucu menyediakan juadah makan malam bertukar igauan ngeri apabila dia dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang lebih satu meter.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Mahani Mamat, 56, terpana seketika apabila reptilia tidak diundang di ruangan kabinet dapur rumahnya secara tiba-tiba mengembangkan kepalanya.

Menceritakan detik cemas tersebut, Mahani berkata, ketika kejadian dia bersendirian di rumah kerana suaminya, Abu Bakar Mat

Amin, 65, dan ahli keluarganya yang lain berada di luar kerana mempunyai urusan masing-masing.

“Ketika memasak lauk untuk makan malam, makcik keluar rumah sekejap untuk mengambil barang berhampiran pintu dapur.

“Pada waktu itu, makcik sudah ternampak kelibat sesuatu yang bergerak atas batang paip berdekatan sinki, namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, selesai mengambil barang, dia kembali menuju ke dapur untuk memasak dan ketika itu terdengar bunyi dengusan ular.

“Makcik berpaling ke arah kabinet dapur dan alangkah terkejutnya apabila terlihat seekor ular tedung mengembangkan kepalanya.

“Perasaan berdebar dan ketakutan menyebabkan makcik tidak mampu berbuat apa-apa sebelum mengambil keputusan berlari keluar dan meminta pertolongan jiran, namun dia juga tidak boleh berbuat kerana masing-masing tidak berani,” katanya.

Mahani berkata, dia mengambil keputusan menghubungi suaminya memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, berikutan reptilia berkenaan sudah masuk dalam ruangan kabinet dapur, mereka mengambil keputusan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Terengganu bagi meminta pertolongan.

“Terima kasih kepada anggota yang membantu makcik sehinggakan mereka sanggup bersusah-payah hampir setengah jam.

“Makcik sendiri tidak tahu dari mana haiwan ini muncul apatah lagi ini kejadian pertama kali. Bagaimanapun, makcik bersyukur kerana terselamat dan sempat melarikan diri,” katanya.

Sumber : Sinar Harian
Share this article :

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by TERBAIK.my - Info Terkini, Isu semasa, Hiburan, Tips dan Ilmiah

Post a Comment

 
Support : Web media TERBAIK.my
Copyright © 2012. Terbaik.my - All Rights Reserved
Published by Mas Template Sememangnya hanya yang TERBAIK!